01 Oktober 2011

Pergi tak kembali




     Setiap insan mahupun hidupan di muka bumi Allah S.W.T. ini akan tetap kembali berjumpa Ilahi di suatu masa yang telah DIA tetapkan. Kematian takkan menunggu kita walau sesaat. Kelahiran dan kematian adalah sesuatu yang telah diaturkan oleh Maha Pencipta. Jangan kita terlalu takut kerana seolah seperti tiada keyakinan terhadap kuasa-Nya. Kita harus bersedia untuk menghadapinya kerana kematian tidak mengukur seseorang kerana umurnya, hartanya, rupa parasnya dan keimanannya. Ini kerana, kematian itu telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Contohnya, si A sedang bersolat Zohor di dalam masjid, dan berada dalam keadaan bersujud, Ilahi telah menjemputnya terlebih dahulu. Contoh yang kedua, si B sedang menari di sebuah kelab malam dan pada ketika itu si B dalam keadaan mabuk, tiba-tiba si B jatuh dan tidak bangun lai kerana hayatnya telah sampai ke penghujung. Contoh ketiga, si C seorang hartawan terkenal di ibu kota sedang memandu kereta menuju ke tempat kerjanya, tetapi menemui ajalnya kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Allah Maha Mengetahui segalanya dan seisi alam. Tiada keraguan lagi. Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa kematian tidak mengira sesiapa, di mana dan masa. Contoh dalil Al-Qur'an tetang kematian setiap makhluk:

3:145

     

(145: سورة آل عمران


Maksudnya:
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
(Surah Ali 'Imran: Ayat 145)




       Setiap insan harus sentiasa muhasabah diri dari semasa ke semasa untuk memperbaiki diri supaya kita dapat kembali kepada Ilahi dengan tenang. Hanya 3 perkara yang kita bawa bersama ketika menghadap Ilahi iaitu, amal ibadat, amal jariah seperti sedekah, dan doa anak yang soleh. Amal ibadat seperti solat adalah wajib ke atas setiap muslim. Tiada yang lebih sempurna berbanding dengan solat walaupun seseorang itu baik hatinya dan sentiasa berbuat baik kepada hidupan lain. Solat adalah tiang agama di mana solat yang sempurna mampu mencegah seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti berzina, berbohong, menyakiti hati orang lain dan lain-lain. Sekaya mana seseorang sekalipun hartanya tidak akan di bawa ke dalam kubur dan tiada kelebihannya jika seorang hartawan tidak bersedekah berbanding seseorang yang hidupnya serba kekurangan. Kepada anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali hendaklah sentiasa sedekahkan surah Al-Fatihah dan Yaasin serta mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzakh dan diringankan seksaan kubur. Ingatlah bahawa sejahat atau sebaik mana ibu bapa kita, mereka tetap ibu dan bapa kita sampai bila sekalipun. Kita sebagai anak harus memohon keampunan dan kemaafan di atas dosa-dosa mereka yang lalu, tetapi bukannya untuk berdendam. Yang baik kita jadikan sebagai teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.


     Yang sudah pergi tidak akan kembali ke dunia lagi. Jadi, kita perlu harus kuat jika seseorang yang kita sayangi telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kita di dunia yang fana ini, seperti ibu bapa, adik-beradik, suami dan anak. Allah S.W.T. menjanjikan pada kita bahawa setiap yang berlaku ada hikmah dan kebaikannya. Janganlah diratapi ke atas pemergiaan seseorang yang tidak akan kembali dan jangan juga terlalu bersuka-ria di atas permergiannya seperti bergelak-tawa, berhibur dan sebagainya.


  


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...